Sunday, March 6, 2011
Projek RM500j dimuktamad akhir tahun
I-Berhad yang kepentingannya turut dimiliki Permodalan Nasional Berhad (PNB), menjangka untuk memuktamadkan rundingan usaha sama dengan sebuah firma Singapura bagi membina sebuah pusat membeli belah bernilai RM500 juta di Shah Alam pada akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew memberitahu Utusan Malaysia ketika di Korea Selatan baru-baru ini, sekiranya semua berjalan lancar, pihaknya menjangkakan pusat berkenaan yang mempunyai keluasan sejuta kaki persegi dan terletak dalam projek bandar i-City, akan siap dalam masa tiga tahun lagi.
Beliau, bagaimanapun enggan menamakan syarikat yang terbabit sambil turut membayangkan syarikat tempatan sebagai penyewa utama ruang kompleks itu.
Hong Chew berkata, pihaknya memang mengharapkan dapat menyiapkan projek yang dikatakan mempunyai keluasan menyamai Kompleks Membeli Belah 1Utama di Petaling Jaya, Selangor lebih cepat daripada tempoh berkenaan tetapi perkara itu tidak mungkin berlaku.
Beliau berkata, I-Berhad melihat pembinaan pusat membeli belah yang sebelum ini menyaksikan rundingannya tertangguh, sebagai tepat pada masanya untuk dilaksanakan berikutan terdapat permintaan tinggi daripada kawasan perumahan sekitar bandar i-City.
Katanya, projek itu terletak di lokasi yang strategik untuk meraih faedah daripada kehadiran pusat komersial utama, hotel-hotel serta kewujudan bandar-bandar baharu sekitar kawasan di dalam lingkungan 10 kilometer dan mempunyai penduduk seramai 580,000 orang.
Hong Chew juga menegaskan, di sebalik tanggapan salah orang ramai terhadap i-City bernilai RM2 bilion yang dimulakan pada tahun 2005, projek itu sebenarnya berkembang seperti mana yang dirancangkan meskipun usaha untuk memajukannya tidak lagi dilakukan mengikut fasa-fasa seperti cadangan awal.
Malah, pada tahun ini, i-City akan membangunkan sebuah butik hotel yang mempunyai 200 bilik, pusat data baharu dan juga apartmen pintar setinggi 32 tingkat, kata beliau, yang enggan mengulas lanjut kerana pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.
Beliau tidak menolak untuk memperkenalkan apartmen pintar dengan meminjam ciri-ciri apartmen yang dilaksanakan oleh bandar raya lestari pertama di dunia, Songdo di Korea Selatan kerana langkah itu mampu untuk meningkatkan nilai pulangannya.
Menurut Hong Chew, setakat ini, sejumlah 25 peratus daripada kawasan seluas 72 hektar dalam bandar i-City telah dibangunkan manakala bakinya akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, berbanding pelan cadangan yang dibuat sebelumnya untuk dibangunkan hanya dalam tempoh 10 tahun.
Beliau menjelaskan, tempoh lebih lama diambil untuk membangunkan i-City kerana berlakunya krisis-krisis kewangan yang memerlukan pelan pembangunannya dinilai semula supaya selepas dengan kemajuan dan permintaan semasa.
Katanya, I-Berhad bukan seperti mana syarikat -syarikat pemaju hartanah lain kerana ia mengambil pendekatan yang berbeza dalam membangunkan i-City, sebuah projek besar yang memiliki infrastruktur bertaraf dunia termasuk gentian optik dan rangkaiannya yang tersedia untuk digunakan.
I-City merupakan sebuah pembangunan komersial bersepadu berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang diiktiraf sebagai pusat siber MSC Malaysia. Ia disahkan sebagai destinasi pelancongan di negara ini dan juga pusat antarabangsa yang menawarkan gaya hidup kosmopolitan.
Beliau berkata, i-City, akan menjadi pusat penjana kepada pertumbuhan ekonomi, pengetahuan dan juga pelancongan yang akhirnya dikenali sebagai pusat rekreasi bersepadu yang berjaya dengan mengembelingkan konsep-konsep yang ditawarkan oleh Taman Tema Everland Samsung, Digital Pavilion dan Lotte World di Korea Selatan.
Hong Chew berkata, lawatannya ke taman tema dan hiburan berkenaan serta Songdo bertujuan melihat bagaimana perkembangan dan kejayaan yang diraih di Korea Selatan boleh diterima pakai i-City.
Contoh kata beliau, projek pemulihan kawasan pusat bandar Cheonggyecheon di Seoul yang mengubah kawasan dahulunya setinggan tepian sungai kepada tempat rekreasi moden tumpuan orang ramai dan pelancong, membukti usaha yang sama boleh dilakukan terhadap Sungai Rasau sepanjang 300 meter di sempadan selatan dan timur i- City. Malah, beliau berkata, projek percubaan telahpun dilaksanakan.
Hong Chew menjelaskan, tumpuannya adalah menarik para pengunjung ke bandar berkenaan melalui komponen pelancongan yang sedang dijalankannya seperti 'bandar bercahaya pada waktu malam' dan juga tarikan terbaharu SnoWalk, seluas 50,000 kaki persegi yang menawarkan persekitaran ala artik dan bersalji.
SnoWalk yang dilengkapkan dengan ukiran ais bercahaya menggunakan diod pencetus cahaya (LED) dan lapangan permainan, mampu memuatkan 800 pengunjung pada satu-satu masa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment