Sunday, March 6, 2011
Bukan salah francaisor - MFA
Jumlah masalah yang dihadapi oleh industri francais tempatan hanya berkadar satu peratus, sekali gus memperlihatkan kedudukannya yang lebih baik berbanding negara-negara lain.
Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Hasmah Ahmad berkata, kebanyakan masalah yang berlaku di dalam industri berkenaan adalah berpunca daripada kelemahan francaisi.
''Bagaimanapun, ini bukan bermakna tiada sebarang masalah berlaku di kalangan francaisor tetapi puncanya lebih terarah kepada francaisi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Contohnya, kata beliau, kekecohan tentang isu kerugian yang dialami beberapa francaisi pada 2009, adalah berpunca daripada mereka sendiri selepas siasatan dijalankan.
''Memang banyak tuduhan yang dibuat kepada francaisor tetapi sekiranya daripada puluhan francaisi yang terlibat tetapi hanya seorang yang bermasalah, dan dari situ kita sendiri boleh menilainya,'' kata Hasmah.
Beliau menjelaskan, masalah-masalah itu berlaku akibat francaisi tidak mempunyai pengetahuan dan persediaan yang cukup melibatkan diri dalam perniagaan berkenaan.
Jelasnya, kegagalan berlaku berpunca daripada sikap francaisi yang terlalu bergantung kepada francaisor sedangkan untuk berjaya dalam industri itu bukan mudah.
Francaisi bukan sahaja sekadar mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal semata-mata sebaliknya perlu belajar dan memahami selok-belok perniagaan yang bakal diceburi.
''Francaisi perlu memenuhi pengetahuan dari aspek kewangan, simpanan, komitmen, kemampuan dari mental dan fizikal, memiliki kepercayaan kepada produk serta sentiasa menjalankan penyelidikan.
''Dan, saya berani menyatakan tidak banyak francaisi terutama bumiputera yang betul-betul membuat persediaan sebaliknya begitu ghairah untuk membuat pelaburan,'' ujar beliau.
Berikutan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang berhasrat untuk menceburi perniagaan francais perlu mengetahui perniagaan yang bakal diceburi daripada peringkat A hingga Z kerana pelaburan yang dibuat bukan sedikit.
Ini kerana, tegas Hasmah, potensi untuk gagal dalam perniagaan francais adalah 90 peratus, sama seperti membuat perniagaan sendiri.
Tambah beliau, seperti perniagaan lain, francaisi yang terlibat dalam industri itu akan berdepan dengan proses jatuh dan bangun dalam tempoh dua tahun beroperasi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MFA sebenarnya telah memainkan peranan yang mencukupi bagi membantu mana-mana individu atau syarikat yang mahu menjadi francaisi.
Jelasnya, persatuan itu menganjurkan pelbagai kursus bagi peringkat awal sehingga lanjutan bagi memberi ruang kepada mereka membuat keputusan sama ada untuk meneruskan keinginan mereka atau sebaliknya.
''Bagaimanapun, saya terpaksa mengakui tidak ramai yang mengikuti program-program yang diadakan meskipun sebahagian daripada kos ditanggung oleh kerajaan,'' katanya.
Dalam pada itu, Hasmah percaya industri francais negara semakin menarik ekoran kemunculan francais mudah alih bagi mengembangkan perniagaan kecil-kecilan, di samping meningkatkan penyertaan graduan muda dalam industri usahawan.
Menurutnya, francais mudah alih ini hanya memerlukan pelaburan kecil antara RM5,000 hingga RM10,000 dan beroperasi seperti di kiosk.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment