Thursday, March 10, 2011
Sasar 18 projek RM1.6 bilion
Naza TTDI Sdn. Bhd., sayap pembangunan hartanah Kumpulan Naza, bakal melancarkan 18 projek hartanah di sekitar Lembah Klang pada tahun ini dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.6 bilion.
Pengerusi Naza TTDI Sdn. Bhd., SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, pelancaran projek-projek itu merangkumi kediaman dan komersial seperti TTDI Grove di Kajang, TTDI Alam Impian di Shah Alam, TTDI Dualis di Puchong dan menara 35 tingkat di Jalan Tun Razak.
Beliau berkata, projek-projek itu dijangka meningkatkan keuntungan selepas cukai syarikat sebanyak 22 peratus pada tahun ini kepada RM100 juta berbanding RM82 juta tahun lalu.
“Perolehan kumpulan pula disasarkan mencecah RM1 bilion, naik 57 peratus dari RM635 juta pada tahun lalu,” katanya selepas taklimat media berkaitan projek-projek Naza TTDI di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.
Mengulas lanjut, SM Nasarudin berkata, berikutan pelancaran beberapa projek baru tahun ini, Naza TTDI telah mewujudkan sebuah syarikat pembinaan bersekutu iaitu Naza TTDI Construction.
Syarikat baru itu akan membantu perniagaan Naza TTDI dan menawarkan perkhidmatan pembinaan menyeluruh dengan pengkhususan di dalam bidang bangunan, kejuruteraan awam dan kerja-kerja infrastruktur.
“Kami merasakan sudah tiba masanya untuk kami mengembangkan lagi perniagaan dan menceburi bidang pembinaan pula,” katanya.
Sementara itu SM Faliq berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk menambah simpanan tanah, sama ada dalam negara atau luar negara.
Ini kerana katanya, simpanan tanah sebanyak 160 hektar yang di dalam tangan ketika ini hanya mampu bertahan untuk tempoh beberapa tahun sahaja dan pihaknya giat mencari tanah di selatan dan utara tanah air.
Beliau berkata, Naza TTDI juga merancang untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan keluar dari Lembah Klang.
SM Faliq berkata, pihaknya melihat potensi untuk pergi ke luar negara seperti Singapura, Vietnam, Indonesia dan China dengan menyertai beberapa projek berimpak tinggi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment