Tuesday, March 1, 2011
Naza labur RM5j motosikal baharu
Kumpulan Naza melalui divisyen motosikalnya melabur RM5 juta untuk memperkenalkan dua model baharu - motosikal kapcai dan motosikal sukan berkuasa 250 cc pada akhir bulan ini dan April depan.
Nama model-model itu yang disasarkan untuk golongan muda dan penggemar sukan bermotosikal itu akan diumumkan pada majlis pelancarannya nanti.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata, pelaburan itu merangkumi kajian penyelidikan, lakaran grafik, ujian litar dan pelbagai lagi untuk kedua-dua model tersebut.
Katanya, kedua-dua model tersebut dijangka meningkatkan lagi pasaran jualan motosikal dalam Kumpulan.
''Pengeluaran kedua-dua model ini akan dilakukan di Kilang Naza di Shah Alam dekat sini dengan kapasiti 50,000 buah setahun,'' katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri majlis penajaan pakaian peserta Jelajah 1Malaysia oleh Kumpulan Naza di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah 1Malaysia, Datuk Naim Mohamad.
Jelajah 1Malaysia yang melibatkan perlumbaan basikal, kenderaan utiliti sukan dan motosikal Harley Davidson akan bermula pada 8 Mac selama enam hari dengan enam peringkat perlumbaan.
Tambah SM Faisal, pihaknya juga berhasrat untuk mengeksport kedua-dua model baharu motosikal tersebut ke pasaran ASEAN dan juga Asia Barat.
Katanya, sebelum ini, Kumpulan telah mengeksport motosikal kapcai dengan skala yang kecil ke beberapa buah negara seperti Iran, Brunei, Afrika Selatan dan lain-lain lagi.
Divisyen motosikal Naza turut menyasarkan untuk menjual sebanyak 520,000 buah motosikal pada tahun ini yang 20,000 daripadanya merupakan motosikal import berkuasa tinggi.
''Kami turut menyasarkan untuk menjual 50 peratus daripada 2,500 buah motosikal berkuasa tinggi yang dijangka dijual di negara ini sepanjang tahun ini,'' ujarnya.
Menurut SM Faisal, jumlah jualan industri motosikal keseluruhan (TIV) pada tahun ini dijangka mencecah 520,000 dan 480,000 buah daripada itu merupakan motosikal berkuasa rendah.
Katanya, Divisyen motosikal Naza menyasarkan untuk menembusi lima peratus daripada pasaran motosikal berkuasa rendah pada tahun ini.
Selain itu, Kumpulan Naza juga dijangka membawa masuk satu lagi jenama motosikal mewah berkuasa besar untuk diedar ke pasaran Malaysia tahun ini.
Sebelum ini, Kumpulan telah menjadi pengedar untuk motosikal berjenama Harley Davidson, Ducati, Aprilia, Gilera, Vespa dan Piaggio.
SM Faisal berkata, pihaknya kini sedang berunding dengan pihak francaisi dari luar negara tersebut.
''Setakat ini, kami masih belum dapat mendedahkan jenama dan negara pengeluarnya lagi.
''Kami akan menjalankan perniagaan secara francais dan optimis untuk mendapatkan hak penjualan jenama baru tersebut,'' katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment