Tuesday, March 22, 2011

Sime Darby lancar 15 projek


Sime Darby Property Bhd. (Sime Darby Property) merancang untuk melancarkan 15 projek kediaman dan komersial dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.6 bilion sehingga 30 Jun ini.

Pelancaran lebih banyak projek itu didorong oleh jualan memberangsangkan bagi tiga pelancaran hartanah Sime Darby Property yang telah melepasi unjuran awal jualan kediaman syarikat itu.

Kejayaan itu, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah utama negara. Tiga projek kediaman itu ialah Melawati di Kuala Lumpur, Denai Alam dan Bandar Bukit Raja, masing-masing di Shah Alam dan Klang, Selangor.

Di Melawati, Sime Darby Property telah melancarkan rumah berangkai Casa Rimba, yang mana 24 buah daripada 26 buah berjaya dijual dalam tempoh beberapa jam pada hari pelancarannya.

Casa Rimba yang dijual pada harga RM1.38 juta dan RM2 juta menawarkan keluasan kediaman dari 3,935 hingga 4,010 kaki persegi, menjadikan ia antara hartanah bertanah terbaik di Lembah Kelang.

Kediaman Mulberry yang dilancarkan di Denai Alam juga mendapat sambutan baik apabila 70 daripada 130 buah rumah berjaya dijual dalam tempoh seminggu.

Sime Darby Property menawarkan sembilan jenis reka bentuk dengan keluasan dari 2.531 hingga 3,464 kaki persegi dan dijual pada harga antara RM672,000 dan RM1.258 juta pada hari pelancarannya.

Kediaman ketiga yang turut berjaya dijual ialah Avani yang dibangunkan di Bandar Bukit Raja.

Sebanyak 90 peratus daripada 174 buah rumah dua tingkat itu telah dijual pada harga RM438,000 hingga RM687,000 sebuah.

Pengarah Urusannya, Datuk Tunku Putra Badlishah berkata, kejayaan itu membuktikan pembeli kediaman di Malaysia memberi maklum balas positif terhadap projek kediaman komuniti yang mempunyai akses kepada lokasi.

Beliau berkata, ekoran kejayaan Avani, Sime Darby Property merancang melancarkan dua fasa bagi kediaman berkembar dua setengah tingkat.

Syarikat itu juga akan memenuhi pertumbuhan permintaan bagi kediaman bertanah di Denai Alam dengan pembangunan kediaman separa berkembar, kediaman berangkai dan kedai pejabat.

Sime Darby Property juga berhasrat untuk melancarkan pembangunan bercampur membabitkan 480 apartmen perkhidmatan, selain podium runcit di Melawati. Ia akan dilancarkan The Quarza pada suku ketiga 2011.

No comments:

Post a Comment