Tuesday, March 22, 2011
Sasar RM5b pinjaman peribadi
Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan penawaran pembiayaan peribadi sebanyak RM5 bilion pada tahun ini, bertambah lebih 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Naib Presiden Kanannya, Akhsan Zaini berkata, untuk mencapai sasaran itu, BSN telah melancarkan kempen pembiayaan peribadi BSN Happy Cash sejak awal tahun ini dan akan berlangsung selama empat bulan.
‘‘Untuk tempoh dua bulan, rekod pengeluaran pembiayaan BSN Happy Cash telah mencapai 50 peratus daripada jumlah yang disasarkan iaitu sebanyak RM1.8 bilion.
‘‘Tahun lalu, kempen BSN Happy Cash berjaya mencapai sasaran sebanyak RM1.2 bilion dalam tempoh empat bulan ia berlangsung,’’ kata beliau dalam satu taklimat di pejabatnya, di sini hari ini.
Akhsan berkata, BSN juga merancang untuk meningkatkan jumlah pelanggan baharu untuk pembiayaan peribadi daripada 60,000 yang direkodkan tahun lalu kepada 100,000 pelanggan tahun ini.
Katanya, BSN telah memperkenalkan perkhidmatan jurujual bank dari rumah ke rumah bagi membantu melancarkan proses pinjaman para pelanggan.
‘‘Ketika ini BSN sudah memiliki 320 jurujual bergerak selain mempunyai 384 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
‘‘BSN juga telah menggiatkan kempen menerusi media massa dan juga media baharu seperti laman sosial bagi menarik minat golongan muda.
‘‘Tahun ini juga kami menumpukan kepada golongan sasar berpendapatan RM3,000 sebulan berbanding sebelumnya pada purata RM2,000 sebulan yang mewakili 70 peratus daripada keseluruhan pelanggan pembiayaan peribadi BSN,’’ jelasnya.
Beliau berkata, skim pembiayaan peribadi BSN merupakan yang terbaik di pasaran dengan tawaran kadar keuntungan 25 peratus lebih rendah daripada pesaing terdekat.
Bagi BSN Happy Cash yang akan berakhir pada penghujung April depan, sebanyak 700 hadiah menanti peminjam seperti i-Pad, kereta mewah Audi A4, Netbook dan pelbagai lagi hadiah bernilai lebih RM1 juta.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment