Tuesday, March 8, 2011
Malaysia hab syarikat automotif Australia
Malaysia bakal menjadi hab kepada syarikat-syarikat automotif Australia untuk memasuki pasaran Asia Tenggara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Malaysia mempunyai keupayaan dan kepakaran yang diperlukan untuk menembusi pasaran sedia ada, terutama di negara-negara anggota ASEAN.
Tambah beliau, kerjasama ini dapat dicapai menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Cooperative Research Center for Advanced Automotive Technology, Australia (AutoCRC).
“Di pihak Australia, mereka mempunyai pelbagai kepakaran termasuklah kepakaran mengilang tetapi sukar untuk mendapat akses pasaran.
“Jadi dengan MoU ini, gandingan kedua-dua negara akan menyaksikan Malaysia mendapat kepakaran yang diperlukan manakala Australia pula akan mendapat akses pasaran sekali gus menembusi pasaran sedia ada, khususnya negara-negara ASEAN, “ katanya.
Mukhriz menyatakan demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara MAI dan AutoCRC.
MAI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madani Sahari manakala AutoCRC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Matthew Cuthbertson.
MAI yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Jun lalu, bertindak sebagai badan pemikir industri automotif untuk membangun dan mempromosikan industri ini.
Tambah beliau, perancangan Malaysia untuk menjual tiga juta kenderaan menjelang tahun 2020 telah menarik minat Australia untuk menandatangani perjanjian itu.
Di Australia, sebanyak satu juta kenderaan dijual setiap tahun, namun hanya 20 peratus atau kira-kira 200,000 buah kenderaan adalah keluaran tempatan.
Menurut Mukhriz, perjanjian ini akan memfokus kepada kerjasama teknikal, teknologi dan kepakaran komersial.
Antara kerjasama teknologi yang dijalankan adalah membuat teknik logam gas lengai (metal inert gas technic) tempatan, yang mana teknik ini mampu mengurangkan masa pemprosesan selain menghasilkan komponen yang berkualiti tinggi.
Dianggarkan 20 syarikat tempat akan mendapat manfaat daripada usaha ini.
Selain itu, menerusi AutoCRC, MAI boleh bekerjasama dengan Kangan Institute, Australia di dalam pelbagai program latihan automotif.
Sebanyak 120 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan menjalani latihan tersebut bermula Mei ini.
Program ini dijangka mampu melahirkan 5,600 perintis menjelang 2015.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, perancangan untuk menghentikan import alat ganti kenderaan terpakai masih belum diputuskan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment