Wednesday, March 2, 2011
Minyak New York lepasi AS$100 setong
Penanda aras bagi kontrak masa depan minyak mentah New York meningkat melepasi AS$100 (RM303) setong, disebabkan ketidaktentuan di Timur Tengah dan kebimbangan ke atas ekonomi negara-negara Asia yang kini dibebani dengan kenaikan inflasi.
Kontrak penghantaran bagi April naik sebanyak AS$0.71 (RM2.15) kepada AS$100.34 (RM304.03) setong hari ini.
Kenaikan tertinggi yang pernah dicatatkan bagi minyak mentah New York adalah AS$147 (RM445.41) setong pada 2008.
Minyak mentah 'Brent North' bagi penghantaran April masih dalam trend menaik kepada AS$116 (RM351.48) setong, selepas melonjak ke paras AS$120 (RM363.60) setong minggu lalu.
Naib Presiden Purvin and Gertz, John Vautrain berkata, corak kenaikan harga minyak jelas membuktikan semua pihak begitu bimbang terhadap perkembangan di Timur Tengah dan di utara Afrika.
Kenaikan harga minyak juga dikhuatiri akan mengakibatkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan, katanya.
Sementara itu, Firma Penyelidik Capital Ekonomi dalam komentar pasaran berkata, kebimbangan dalam pasaran terhadap kenaikan harga minyak akan menyebabkan inflasi dan menjejaskan ekonomi di Asia.
''Secara relatifnya, Korea dan Taiwan adalah pengimport bersih minyak terbesar di rantau dan kami percaya India dan Thailand juga akan terjejas sekiranya harga minyak mentah kekal berada pada kedudukan semasa,'' tambahnya.
Jelas firma itu, risiko kenaikan inflasi akan menyebabkan kawalan polisi monetari lebih ketat di India dan Indonesia, yang kini mengalami kadar inflasi yang tinggi.
Harga minyak menyaksikan peningkatan selepas berlaku pergolakan politik di Tunisia pada Januari lalu, diikuti di Mesir pada bulan lalu.
Kini masalah yang sama berlaku di Libya yang merupakan pengeluar minyak, turut dijangka menggoncang keamanan di Yaman dan Oman.
Pergolakan yang sama juga berlaku di Iran, pengeluar minyak keempat terbesar di dunia. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment