Thursday, March 10, 2011

Nilai pasaran produk halal RM15b tahun ini


Nilai pasaran produk halal di negara ini disasarkan berjumlah melebihi AS$5 bilion (RM15 bilion) pada tahun ini berikutan aliran peningkatan permintaan yang mendadak terhadapnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, pertumbuhan nilai pasaran itu bakal meningkat lebih lima peratus setahun kerana kesedaran masyarakat semakin tinggi.

Berikutan itu, kata beliau, ia sekali gus memberi peluang kepada pemain industri halal di negara ini untuk mengambil alih pembekalan produk halal secara berperingkat bagi memenuhi keperluan dan permintaan orang ramai.

''Kesedaran mengenai produk halal di negara ini telah meningkat sejak tiga tahun lepas dan pengguna kini lebih peka untuk memastikan produk yang mereka gunakan adalah betul-betul halal.

''Maka ini merupakan satu cabaran kepada pemain industri ini untuk menjadi pengeluar berbanding kita mengimport produk dari negara lain,'' katanya pada sesi taklimat media mengenai perancangan dan program HDC bagi membangunkan industri halal, di sini hari ini.

Jamil berkata, Malaysia hanya menguasai satu peratus industri makanan halal global bernilai AS$680 bilion (RM2.04 bilion).

Justeru, katanya, ia boleh ditingkatkan melalui pertambahan syarikat pengeluar berbanding 1,679 syarikat sedia ada yang telah mendapat pensijilan halal pada tahun lalu.

Jumlah itu membabitkan 64 peratus produk makanan proses, penjagaan kesihatan (11 peratus), bahan-bahan produk (enam peratus) serta kosmetik dan penjagaan diri (enam peratus).

''Bagaimanapun, saya yakin syarikat yang akan mendapat pensijilan halal ini akan meningkat sekiranya corak peningkatan 30 peratus dalam tempoh dua tahun lalu turut berlaku pada tahun akan datang.

''Ini termasuk penguasaan pasaran produk makanan premium dan pengeluar bahan mentah selain produk halal bukan makanan,'' katanya.

Dalam pada itu, Jamil berkata, HDC kini membangunkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan halal.

Pusat Sokongan Halal Global (GHSC) akan diwujudkan di negara ini selewat- lewatnya September ini yang akan berperanan sebagai pusat sehenti untuk pengguna dan pelabur mendapatkan maklumat berkaitan industri itu.

''HDC turut memperkenalkan aplikasi halal pada bulan depan menerusi Nokia iPhone sebagai membantu pengguna mencari lokasi premis makanan dan restoran melalui Sistem Kedudukan Sejagat (GPS)," katanya.

No comments:

Post a Comment