Tuesday, March 1, 2011

Eksport perabot lepasi RM8b?


Eksport perabot negara pada tahun ini dijangka melepasi paras RM8 bilion di sebalik nilai ringgit yang kukuh di pasaran antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Beliau, bagaimanapun berkata, eksport negara secara keseluruhannya, turut menerima sedikit kesan daripada pengukuhan nilai mata wang tempatan itu.

“Itulah realiti perdagangan dunia yang terpaksa dihadapi, justeru itu aktiviti promosi yang efektif serta kreativiti penghasilan produk mampu mengatasi masalah tersebut.

“Kita mungkin boleh menumpukan kepada pasaran yang tidak mengutamakan faktor harga apabila pembelian dilakukan, sebaliknya hanya mengutamakan kualiti produk tersebut,” katanya selepas merasmikan Ekspo Perabot Antarabangsa Malaysia 2011 (MIFF 2011) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan MIFF Sdn. Bhd.; Datuk Dr. Tan Chin Huat.

Penganjuran MIFF selama lima hari bermula hari ini mengumpulkan 500 peserta yang terdiri daripada pengusaha perabot dari 12 negara termasuk Malaysia bagi mempamerkan produk masing-masing.

Penganjuran kali ini bertempat di dua lokasi berbeza iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sepuluh destinasi utama eksport perabot negara bagi tahun 2010 lalu ialah Amerika Syarikat (AS) sebanyak RM2.3 bilion, Jepun (RM709.5 juta), Singapura (RM585.1 juta), United Kingdom (UK) (RM521.9 juta) dan Australia (RM493.6 juta).

Selebihnya adalah Kanada (RM316.7 juta), Emiriyah Arab Bersatu (UAE) (RM281.3 juta) India (RM220.3 juta), Arab Saudi (RM131.3 juta) dan Jerman (RM123.7 juta).

Tambah Tsu Koon, nilai eksport perabot negara yang dicapai ketika ini begitu membanggakan, apabila nilai eksport pada 20 tahun lalu hanya kira-kira berjumlah RM370 juta.

Menteri itu berkata, usaha menilai tambah sumber semulajadi negara daripada kayu kepada perabot sangat menguntungkan negara, berbanding hanya mengeksport kayu semata-mata.

“Kreativiti dan inovasi produk perabot tempatan harus dimantapkan memandangkan Malaysia memiliki banyak sumber asli (kayu) serta kaya dengan nilai warisan yang boleh diketengahkan dalam penghasilan perabot,” ujar beliau.

Sementara itu, Chin Huat menyatakan penganjuran kali ini mampu meningkatkan pesanan jualan perabot sehingga AS$800 juta (RM2.4 bilion) mengatasi pesanan yang dicatatkan pada penganjuran tahun lalu berjumlah AS$755 (RM2.27 bilion).

No comments:

Post a Comment