Tuesday, March 1, 2011
Proton masih lagi kukuh - Tun M
TANJUNG MALIM 1 Mac - Pengerusi Proton Holdings Bhd., (Proton) Tun Dr. Mahathir hari ini sekali lagi menegaskan bahawa syarikat pembuat kereta itu masih memiliki dana yang kukuh walaupun keuntungan berkurangan.
"Kedudukan kewangan Proton masih kukuh dan penurunan keuntungan itu adalah disebabkan oleh prestasi anak syarikatnya Lotus Group International yang masih belum stabil," tegasnya.
Ujarnya, adalah menjadi kebiasaan untuk mana-mana syarikat baru seperti Lotus untuk 'hidup' dan sebagai syarikat induk Proton perlu menyuntik sedikit modal bagi membolehkan kelangsungan Lotus di masa depan.
"Saya tidak bimbang dengan prestasi Proton kerana percaya masih boleh membuat keuntungan dan juga Lotus apabila syarikat itu mula mengeluarkan model-model yang diumumkan baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke kilang membuat perkakasan kenderaan, Miyazu Malaysia Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Dr. Mahathir berkata demikian bagi mengulas laporan kewangan Proton bagi sembilan bulan pertama apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah kepada RM134 juta bagi tempoh sembilan bulan, susut daripada RM248 juta.
Penurunan keuntungan itu disebabkan kenaikan kos dalam penjenamaan dan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Proton berkata, prestasi kewangan itu turut dipengaruhi oleh perbelanjaan penstrukturan semula termasuk pelan transformasi perniagaan Lotus.
Namun beliau tetap yakin prestasi kewangan Proton bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini akan mencatatkan keputusan positif selain berkeyakinan keuntungan Proton dalam tempoh setahun ke dua tahun lagi akan lebih baik iaitu selepas proses penstrukturan Lotus selesai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment